Sunday 2 November 2014

Cerpen 1: Terima Kasih Alif

Alif turun ke tingkat bawah rumahnya. Dirinya lengkap berpakaian. “Uzair?”panggil Alif. Tiada bunyi sahutan kedengaran. Alif memanggil lagi. Laju kakinya melangkah turun. Terdengar bunyi suara takbir raya berkumandang di televisyen. Dia bergegas ke ruang tamu.

Dia tersenyum. “Uzair!”tegur Alif. Si anak kecil yang sibuk mendengar takbir raya sambil makan kuih raya berpaling. “Abah!”dia tersenyum lebar. Bekas yang berisi kuih raya diletakkan lalu dia berlari mendapatkan Alif.

Alif mendukung kanak-kanak itu. Dia memicit hidung Uzair lembut. “Uzair, abah dah kata kuih tu untuk orang yang datang raya, bukan?”soal Alif lembut. Uzair mengusap-usap hidungnya. “Ujair lapar. Abah tak masak,”kata kanak-kanak berusia empat tahun itu manja. Alif hanya ketawa kecil.

Dia mendukung kanak-kanak itu ke dapur lalu meletakkannya di atas kerusi. Dia menuang milo panas yang telah dibancuh sebelum dia menukar pakaian. “Nah air milo. Makan dengan biskut ni. Uzair kata nak ikut abah pergi sembahyang raya kan? Karang kalau Uzair kenyang susah nak sembahyang. Lepas balik baru kita makan ok?”ujar Alif.

“Tapi papa pernah kata sembahyang raya lama. Lepas tu kita nak pergi jumpa papa. Mesti lama,”Uzair memuncungkan mulutnya. Alif mengeluh. Dia tidak boleh menolak permintaan Uzair apabila dia membuat muka comelnya itu. Dalam hatinya, dia menyalahkan Ashraf.

“Okeylah. Tapi kita makan sikit je,”ujar Alif. “Yeah!”Uzair berteriak gembira. Alif menyediakan sarapan mereka yang berbentuk beberapa potong ketupat dan rendang ayam. “Abah, lepas sembahyang raya kita nak jumpa papa kan?”tanya Uzair dengan mulut yang penuh. Alif tersenyum sebelum mengangguk.

*****

Alif membentangkan tikar mengkuang di sisi kubur. Uzair segera mengambil tempat di atas tikar tersebut. Alif hanya tersenyum melihat gelagat kanak-kanak itu. Kertas yang dibawanya diletakkan di sisi. Dia menyelak helaian Yasin yang dibawanya. Alunan bacaan Yasin berkumandang di tanah perkuburan tersebut bergabung dengan bacaan doa oleh pelawat-pelawat kubur yang melawat kubur keluarga mereka.

Uzair pula mencabut lalang panjang yang terdapat di atas kubur. Usai melakukan itu, dia meneliti batu nisan dari tepi. “Ah…mad..As..shh..raf..Azz..wan..bin..ti..As…wad…Is.. Lam,”baca Uzair satu persatu. Alif mengeluh di dalam hati apabila terdengar nama itu. Ahmad Ashraf Azwan binti Aswad Islam. Dia teringat memori silamnya.

*****

Hari pertama di universiti memang sangat memenatkan terutamanya bagi pelajar tahun pertama. Alif terpaksa meredah pelbagai kelompok pelajar untuk melihat jadual orientasi yang ditampal di papan kenyataan.

“Aish!”rungutnya apabila melihat sekumpulan pelajar berbadan besar dan tinggi mengerumuni papan kenyataan. “Tingginya,”kata Alif. “Hey, kau nak tengok jadual tu ke?”tanya seorang pelajar lelaki.

Alif berpaling dan melihat lelaki itu sedang tersenyum ke arahnya. “Kau cakap dengan aku ke?”tanya Alif. Lelaki itu mengangguk. “Aku ada ambil gambar jadual tu dalam iPad aku. Kau nak tengok ke?”ujar lelaki itu. Alif mengangguk. Dia tidak selesa terhimpit-himpit.

Lelaki itu menarik Alif keluar daripada kelompok itu. Dia membuka iPadnya lalu menunjukkan gambar jadual yang diambilnya. Alif meneliti jadual itu sambil menaip sesuatu dalam aplikasi Memo dalam telefon bimbitnya.

Usai menaip dia menyimpan kembali telefonnya. “Nama aku Ashraf. Nama kau apa?”tanya Ashraf. Dia menghulurkan tangannya. Alif memandang lelaki tinggi itu pelik. “Alif. Alif Nur Azwan,”kata Alif.

“Eh, nama ketiga kita samalah. Aku Ahmad Ashraf Azwan,”kata Ashraf dengan gembiranya. Alif memandang pelik. “Jadi?”

“Jadi kita bolehlah jadi kawan!”Ashraf memeluk bahu Alif dengan gaya yang terlebih peramah. Alif hanya tersenyum kecil.

*****

“Alif, Alif, Alif, Alif!”Ashraf berteriak seperti anak kecil. Alif yang sedang sibuk menyiapkan kerjanya merungut. “Apa?!”Alif menjerit.

“Aku ada berita gembira!”Ashraf terlompat-lompat di hadapan Alif seperti kanak-kanak bawah umur. “Gembira untuk kau ke untuk aku?”soal Alif. “Bukan kau kata kalau aku gembira, kau pun gembira ke?”soalan dibalas soalan.

“Yelah, Ashraf. Apa beritanya?”tanya Alif.

“Aku lamar Karina untuk jadi kekasih aku. Dan dia terima!”teriak Alif kegembiraan. Alif mengerut dahi. “Karina? Bukan dia tu suka permainkan lelaki?”

Ashraf mengangguk. “Aku tahu lah kau tu kipas-susah-mati si Karina tu tapi kau tak takut dia tinggalkan kau ke?”tanya Ashraf. Ashraf menggeleng. “Aku akan pastikan dia berubah. Aku akan jadikan dia isteri yang soleh,”Ashraf berazam.

Alif hanya mengangguk. “Jauh kau fikir, tapi apa-apa sajalah Ashraf. Asalkan kau bahagia,”ujar Alif. “Yeah, terima kasih Alif!”

*****
         
          Alif sedang mengulang kaji pelajarannya apabila Ashraf merempuh masuk bilik asrama kampusnya. “Alif!”laung Ashraf seakan-akan Alif berada sebatu jaraknya daripada dia.
            
           Terkejut Alif sehingga berterbangan semua kertas kerjanya. “MasyaAllah. Apa kena dengan kau? Buang tebiat?!”marah Alif. Dia bangkit dari kerusi untuk mengutip kertasnya semula.
            
            Ashraf segera membantu Alif mengutip kertas-kertas yang sudah selamat mendarat di atas lantai. “Maaf, maaf. Aku nak minta tolong kau sebenarnya,”kata Ashraf. Alif mengangkat kening. Tolong?

            “Tolong apa?”Alif menyusun kembali kertas kerjanya di dalam fail. Fail itu ditutup kerana tidak mahu kertas-kertas tersebut terbang lagi.

            Ashraf tersengih-sengih seperti kerang busuk. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Aku..aku..,”Ashraf tergagap-gagap hendak berkata-kata. “Aku apa?”tanya Alif sedikit tegas. Alif menjentik dahinya. Sudahlah mengganggu, tergagap-gagap pula.

            Ashraf masih lagi tergagap-gagap. “Aku apa?!”Alif meninggikan suara seraya menjegilkan matanya ke arah Ashraf.

            “Aku ada janji temu dengan Karina petang ni. Boleh tak kau tolong aku bersiap?”pinta Ashraf. Alif mengangkat kening. Takkanlah orang seperti Ashraf; kacak dan bergaya hendak meminta nasihat dia.

            “Tolong aku,”rayu Ashraf. Dia nampak gementar sangat. Alif terkebil-kebil seketika sebelum mengangguk perlahan. Ashraf melompat kegembiraan apabila melihat anggukan itu.

            Ashraf menarik Alif keluar dari bilik mereka lalu ke kereta. “Kita nak pergi mana?”tanya Alif bingung. “Butik kakak aku,”jawab Ashraf pendek sebelum menghidupkan enjin. Alif mengangguk. Dahsyat sungguh Ashraf  ini. Hendak keluar janji temu pun pergi ke butik!

            “Oh ya,”Ashraf memandang Alif ketika kereta berhenti di lampu isyarat. “Kau kena temankan aku pergi janji temu,”kata Ashraf dengan senyuman yang seolah-olah tidak bersalah.

            Alif yang asyik mendengar siaran radio Hot fm hanya mengangguk. Hanya apabila lampu hampir bertukar hijau, barulah dia memproses apa yang dikatakan oleh Ashraf. “Nanti, apa kau cakap?”Alif memandang Ashraf. Ashraf hanya tersengih sebelum menekan minyak. Kereta itu meluncur laju di jalan raya tanpa mempedulikan jeritan Alif yang ketakutan.

*****

            Alif mengeluh kasar. Sejak sejam tadi, dia asyik mengikut pasangan Ashraf dan Karina dari belakang. Dia mesti mengekori mereka, kata Ashraf.

            Ada beberapa kali dia cuba melarikan diri. Dua kali dia hendak ke tandas, sekali dia hendak masuk ke kedai buku, tiga kali dia hendak membeli makanan ringan, tetapi dia gagal. Ashraf cepat menangkapnya.

            Mujurlah dia membawa fon telinganya. Dapatlah dia mendengar lagu di telefon bimbitnya tanpa mengganggu orang lain atau pun berasa terganggu.

            Masa berlalu dengan pantas. Alif hampir tidak menyedari sudah setengah jam selepas pukul 6. Mujurlah Ashraf mencuit dia. “Mana Karina?”tanya Alif. Ashraf tersenyum puas. Dia puas berjalan-jalan dengan Karina.

            “Sudah balik. Jom balik. Kerja kau pun belum siap lagi, bukan?”tanya Ashraf. Alif menepuk dahi. Dia hampir terlupa dengan kerjanya. Dia menyalahkan Ashraf tentang perkara itu. Ashraf cuma tergelak melihat gelagat rakannya.

*****

“Kahwin?!”ujar Alif. Selama ni, dia fikir Ashraf hanya main-main. Tetapi perkara itu sebenarnya betul. Ashraf akan berkahwin dengan wanita yang menjadi idamannya, Karina. Ashraf mengangguk. “Kenapa kau nampak terkejut sangat?”tanya Ashraf.

“Yelah, aku ingat kau main-main. Dan aku tak sangka kau mampu ubah Karina yang memang minah saleh celup tu,”ujar Alif. Raut wajah Ashraf berubah. Senyuman yang sentiasa menghiasi wajahnya pudar.

“Kau tak percayakan aku?”soal Ashraf. Lidah Alif menjadi kelu melihat perubahan Ashraf secara tiba-tiba.

“Err, bukan aku tak percaya. Tapi kau tahu lah kan Karina tu. Walaupun senior yang paling alim kat universiti ni pun dirosakkan dia,”ujar Alif. Ashraf merengus kasar. “Kalau kau tak percaya kat aku, kau cakap jelah,”ujar Ashraf kasar. Ashraf berlalu keluar. Alif menghantar Ashraf dengan pandangannya.

*****

            Alif menendang batu kecil yang berada di atas jalan. Dia memandang kad yang masih lagi dipegangnya. Dalam hatinya, dia berkira-kira sama ada hendak pergi atau tidak.

            Buk! Kad yang dipegang Alif terjatuh berserta dengan pemegangnya. Alif mengaduh kesakitan. “Kau okey?”tanya seseorang. Alif memandang seorang lelaki yang jatuh terduduk di hadapannya serta seorang lagi lelaki yang sedang membantu lelaki itu bangun. Dua orang gadis memandang ke arahnya.

            “Kau Alif, bukan?”tanya gadis bertubuh kecil. Alif kenal dengan mereka. Yang berlanggar dengannya tadi ialah Hazim, yang menolong Hazim bangun ialah Syamir, gadis yang bertubuh kecil itu ialah Aina dan rakannya lagi seorang ialah Nazurah. Mereka terkenal di universiti ini kerana kepintaran mereka serta keakraban mereka sebagai empat sekawan, walaupun Syamir dan Nazurah telah bertunang.

            Alif mengangguk untuk menjawab soalan Aina. Syamir membantu Alif bangun. “Apa yang kau buat di sini? Hari ni Ashraf kahwin bukan?”tanya Nazurah. Alif mengangguk lagi.

            “Kau dah tak ada mulut? Orang tanya itu jawablah,”marah Syamir. Dia pantang apabila kata-kata tunangnya tidak dijawab. Hazim menyiku tulang rusuk Syamir. Syamir mengaduh kesakitan.

           Hazim mengutip kad jemputan majlis perkahwinan Ashraf lalu menghulurkan kepada Alif. “Kau tahu, kawan baik jarang bergaduh. Kalau bergaduh pun, tidak lama. Tapi kalau sudah dua minggu tak bertegur sapa, itu memang kes teruk,”ujar Hazim tiba-tiba. Alif terkedu.

            “Ashraf itu sensitif orangnya. Lagipun, dia tak ramai kawan sebab perangai dia yang macam budak-budak. Kau kawan baik dia. Orang yang paling dia percaya. Jadi, cuba kau perbaiki kesilapan kau dan minta maaf,”ujar Aina pula. Nazurah tersenyum ke arah Alif. “Ashraf jenis yang penakut. Dia bukan seorang yang berani. Kau pula lagi berani daripada dia. Jadi, lebih baik kau yang mulakan langkah untuk minta maaf,”ujar Nazurah lembut. Alif terkedu lagi.

            “Kalau kau nak harapkan Ashraf mula bercakap dengan kau, memang kau tunggu sampai kucing bertanduklah agaknya. Kau tak perlu risau. Ashraf bukan seorang pendendam. Dia akan maafkan kau,”kata Syahir pula, lembut tapi tegas.

       Keempat-empat pelajar itu tersenyum ke arahnya sebelum meminta diri. Alif ditinggalkan dalam keadaan terkebil-kebil. Empat pelajar itu bagaikan Nanny McPhee, wujud pada saat dia tidak mahu mereka berada di sisinya, tetapi pada saat dia memerlukan mereka.

*****

Alif meredah orang ramai yang berkerumun di halaman rumah. Pada mulanya dia tidak ingin pergi tetapi mengenangkan persahabatannya dengan Ashraf yang renggang, dia gagahkan juga dirinya.

“Assalamualaikum, Alif kan?”tegur seseorang. Alif berpusing dan mendapati kakak Ashraf, Aisyah berada di belakangnya sambil memegang bayinya. “Eh kak Aisyah,”ujar Alif. “Alif cari Ashraf ke?”Alif mengangguk.

“Diorang tengah bersanding tu. Kejap lagi mereka akan tukar pakaian jadi Alif bolehlah jumpa Ashraf. Akak tahu korang ada masalah,”ujar Aisyah. Alif menggigit bibirnya. Aisyah menepuk bahu Alif.

“Ashraf ada cerita kat akak apa yang jadi. Ashraf sedih sangat pasal tu,”ujar Aisyah. Alif mengeluh. “Saya tak bermaksud macam tu akak. Cuma akak tahulah kan Karina tu macam mana. Senior yang paling alim tu pun dia boleh rosakkan, inikan Ashraf yang perangai macam budak-budak tu,”ujar Alif.

“Akak tahulah. Akak pun satu U dengan korang. Tapi Alif, akak tengok Karina tu macam dah berubah. Akak pasti Ashraf nak Alif tahu yang Karina dah berubah,”ujar Aisyah. Alif mengeluh. “Akak sebenarnya kagum dengan kamu Alif. Sepanjang 20 tahun lebih akak hidup, akak tak pernah tengok ada yang kekal jadi kawan rapat Ashraf. Macam kamu cakap, Ashraf perangai macam budak-budak.. Tapi kamu masih rapat dengan dia. Jadi akak harap persahabatan korang yang tak berapa nak lama ni berkekalan,”ujar Aisyah.

Alif hanya mengangguk. Aisyah memanjangkan kepalanya. “Hmm, majlis persandingan dah habis. Meh, ikut akak,”Alif mengekori Aisyah ke dalam rumah.

Tuk, tuk, tuk. “Ashraf?”panggil Aisyah. “Ye kak?”sahut Ashraf. “Ada orang nak jumpa,”kata Aisyah. Terdengar bunyi klik sebelum pintu dibuka. Wajah Ashraf berubah apabila melihat Alif. Ashraf ingin menutup pintu tetapi dihalang oleh Aisyah. “Jangan tutup pintu. Kamu berdua akan berbincang dan selesaikan masalah. Akak nak keluar dan pastikan bila korang keluar, korang dah berbaik,”Aisyah menolak alif masuk ke dalam bilik sebelum menutup pintu.

“Hai,”tegur Alif sedikit kekok. “Kau nak apa?”ujar Ashraf kasar. Alif mengeluh berat. “Aku minta maaf Ashraf,”Alif menundukkan mukanya. “Kenapa nak minta maaf pulak? Bukannya kau ada buat salah pun dengan aku,”ujar Ashraf.

“Aku betul-betul minta maaf. Aku tahu kau terasa dengan reaksi aku hari tu. Tapi kau kena faham. Sebagai kawan baik kau, aku nak kau dengan perempuan yang terbaik,”ujar Alif ikhlas.

“Aku kena percaya ke dengan semua tu?”soal Ashraf sambil menekankan perkataan ‘percaya’. “Aku tak minta kau percaya, Ashraf. Aku minta kau yakin. Aku harap kau yakin dengan aku dan aku harap kau yakin dengan pilihan kau,”ujar Alif. Suasana senyap. Alif tidak berani mengangkat muka.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi seseorang ketawa. “Ahahahahahaha! Kau patut tengok muka kau,”ujar Ashraf sambil ketawa berdekah-dekah. Alif memandang pelik. “Aku faham apa yang kau maksudkan, Alif. Sepanjang dua minggu kita berenggang, aku fikir balik apa kau cakap. Aku sendirinya sebenarnya tak yakin dengan diri aku. Aku, pelajar tahun terakhir universiti yang berperangai kebudak-budakan boleh mengubah Karina, diva yang suka bersosial. Tapi tengoklah, dia dah selamat jadi isteri aku. Aku sedar apa yang kau cakap tu ada benarnya. Sepanjang dua minggu ni, aku memang nak berbaik balik dengan kau. Tapi bila ingatkan balik aku buat muka lepas tu lari keluar dari bilik macam budak kecil, aku jadi tak yakin dengan diri aku. Tapi, dalam hati aku yakin, kau masih jadi sahabat aku. Kau mesti cari jalan untuk pulihkan hubungan kita and akhirnya, kau kat depan aku sekarang ni,”ujar Ashraf panjang lebar.

Alif seperti hendak menangis. “Wow, aku tak sangka aku orang pertama yang terima syarahan daripada Encik Ahmad Ashraf Azwan,”ujar Alif konon-kononnya terharu. Ashraf hanya tersengih.

“Alif, aku ada permintaan nak buat,”ujar Ashraf. Alif mengangkat keningnya. “Aku harap kau boleh jadi ayah angkat anak-anak aku,”ujar Ashraf. Alif tersenyum. “Boleh saja,”kata Alif.

Mereka pun keluar dari bilik persalinan itu. Majlis berjalan dengan lancar sekali. Alif hanya tersenyum melihat rakannya selamat menjadi suami orang. Aisyah berdiri di sebelah Alif.

“Akak terlupa nak tanya. Apa yang menyebabkan Alif berani datang ke sini untuk tamatkan perang dingin ni?”tanya Aisyah, berasa ingin tahu.

“Kalau nak dipendekkan cerita, lebih senang kalau saya kata ada empat jelmaan Nanny McPhee datang kepada saya,”kata Alif sambil tersenyum senang. “Aik, Emma Thompson datang Malaysiakah? Untunglah. Sanggup dia terbang ke sini sebab dia dapat kesan kamu berdua ada masalah,”gurau Aisyah. Alif hanya menjawab dengan tawa gembira.

*****

Alif membelok di selekoh tempat letak kereta sebelum memarkir keretanya dalam salah satu petak yang kosong. Dia segera keluar dari kereta, mengunci kereta sebelum bergegas masuk ke dalam hospital.

Dia melangkah ke kaunter pertanyaan. “Um, tumpang tanya. Di mana wad C34?”tanya Alif. Jururawat di kaunter itu dengan senyuman menunjuk arah ke wad yang dimaksudkan. Alif membuka langkah seribu. Sebentar tadi, Ashraf menelefonnya mengatakan ada kecemasan. Jadi dia bergegas ke situ.

Sebaik saja dia tiba di wad tersebut, pintu wad dihempas buka. Dirinya disambut dengan gembira oleh Ashraf dan keluarganya. “Alif!”Ashraf berteriak gembira. Alif cuba bertutur dalam keadaan termengah-mengah. “Apa kecemasannya?”soal Alif.

“Anak kita dah lahir!”ujar Ashraf. Anak kita? Sejak bila aku ada anak? “Hah, ni mesti dah lupa ni. Karina dah selamat lahirkan anak lelaki. Tu sebab aku hubungi kau. Bapa angkat dia mesti jadi orang kedua selepas bapa yang sebenar apabila tengok anak,”kata Ashraf.

“Yelah, Alif. Cepatlah. Ashraf langsung tak bagi kami tengok anak Ashraf,”rungut Aisyah.

Tanpa mempedulikan Alif yang seperti tidak cukup nafas itu, dia menarik tangan Alif masuk ke balik tirai. Kelihatan Karina yang tersenyum lemah sedang mendodoi bayi dalam dukungannya. Alif tersenyum melihat bayi itu.

Ashraf membuka tirai. “Ucapkan selamat datang kepada tambahan lelaki dalam keluarga kita,”ujar Ashraf gembira. Masing-masing berkerumun di sekeliling Karina untuk melihat bayi itu. “Kau dah azankan dia?”tanya Alif. Ashraf menggeleng. Dia mengambil bayi itu dari tangan Karina. Kedengaran azan berkumandang di dalam wad itu.

“Syukur Karina, Ashraf. Kamu lahirkan bayi yang sihat. Kamu dah beri nama?”tanya emak Ashraf, Puan Asyiffa. Karina menggeleng. “Ouh boleh akak bagi nama?”tanya Aisyah penuh berharap. Adik-beradik Karina dan Ashraf berebut-rebut hendak beri nama. “Tak boleh!”kata Ashraf lantang.

“Nama dia hanya boleh diberi oleh mama, papa dan abah dia saja,”ujar Ashraf. “Siapa abah dia?”tanya Alif. “Kau lah.”

“Okeylah, Karina dah pilih nama pertama untuk anak kami. Karina nak namakan dia Muhammad,”ujar Karina. Terpancar kegembiraan ibu muda itu.

“Kalau macam tu, Ashraf pula namakan nama kedua. Ashraf pilih Nur, sempena maksudnya dan nama kedua Alif sendiri,”ujar Ashraf.

“Kamu pula Alif?”tanya Puan Asyiffa. Alif berfikir-fikir. Nama, nama, nama, nama. “Uzair,”ujar Alif. “Uzair?” Alif mengangguk. “Alif memang nak namakan anak Alif, Uzair, kalau lelaki,”ujar Alif.

“Kalau macam tu, mesyuarat telah tamat. Selamat datang ke keluarga, Muhammad Nur Uzair,”ujar Ashraf.

*****

Alif tersenyum teringat hari kelahiran Uzair. Dia memandang Uzair yang sudah terlelap di atas pangkuannya. Wajah kanak-kanak itu diusap perlahan-lahan. “Assalamualaikum,”tegur seseorang.

Alif mendongak lalu terpandang Aisyah sekeluarga. Alif bersalaman dengan lelaki-lelaki dalam keluarga itu. “Sudah lama kamu sampai Alif?”tanya Puan Asyiffa. Alif memandang raut wajah wanita berumur lebih separuh abad itu. Terpancar kesedihan di wajahnya. Begitu juga wajah Encik Aswad dan lain-lain.

“Agak lama juga mak cik. Uzair pun dah tertidur,”Alif mengusap-usap bahu Uzair. Puan Asyiffa tersenyum melihat perbuatan Alif. Alif menyayangi Uzair seperti anaknya sendiri.

“Boleh kamu tunggu sekejap? Mak cik nak melawat kubur keluarga yang lain,”ujar Puan Asyiffa. Alif mengangguk. Sudah tentu boleh. Dia tidak terasa hendak pulang sekarang ini.

Keluarga itu beredar. Alif terpandang batu nisan putih di hujung kubur. Memorinya tiba-tiba mengimbas episode sedih yang berlaku dalam hidupnya.

*****

        “Uzair, kenapa buang air kat abah,”rungut Alif apabila bayi berusia tidak sampai 6 bulan itu membuang air ketika Alif sedang menukar lampinnya. Bayi yang tidak mengerti apa-apa itu hanya tergelak kecil.

“Bertenanglah, Alif. Budak-budak memanglah macam tu,”kata Karina.

Wanita itu meletakkan bakul berisi lampin Uzair yang baru dibasuh di sisi. “Aku nak tanya, kenapa aku kena belajar benda ni sedangkan Ashraf tak?”soal Alif sambil berusaha memakaikan lampin.

“Sebab aku papa. Yang kena buat semuanya tu si mama,”ujar Ashraf selamba sambil berdiri di sebelah Alif dengan secawan kopi di tangannya. “Kalau macam tu, aku yang abah ni buat apa pulak kat sini? Kalau abah kena buat, maknanya papa dia pun kena buat!”marah Alif.

Ashraf menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Oh yakah?”Ashraf hanya tersengih. Alif hanya menjeling marah. Dia beralih semula ke arah Uzair. Dia melihat kanak-kanak itu tidak bergerak. “Uzair?”mata Alif membulat apabila melihat wajah kanak-kanak itu menjadi biru.

“Uzair! Ashraf, Karina, kita kena bawa Uzair ke hospital!”Alif segera mendukung Uzair lalu berlari keluar rumah. Ashraf dan Karina bergegas. Kereta Ashraf dipandu ke hospital melebihi had laju. Nasib baik tidak kena saman.

Sampai saja di hospital, Uzair terus dibawa ke wad kecemasan. “Kenapa Uzair macam tu?”Karina sudah menangis. Alif lihat Ashraf hanya diam. Seketika kemudian, doktor keluar dari dalam bilik rawatan.

“Macam mana dengan anak saya dok?”tanya Karina, risau.

Doktor itu melepaskan nafas berat. “Saya harap puan bersabar ya. Anak puan sebenarnya mempunyai jantung berlubang,”ujar doktor itu. Karina serta Alif merasakan bahawa jantung mereka sendiri gugur apabila mendengar berita itu.

“Mujurlah, tuan dan puan ambil keputusan pantas untuk hantar anak tuan dan puan ke sini,”ujar doktor tersebut. Karina sudah mula menangis. Alif melihat Ashraf hanya diam. “Adakah keluarga tuan dan puan mempunyai penyakit jantung berlubang sebelum ini?”soal doktor itu.

Karina menggeleng. Alif memberitahu doktor itu dia bukan bapa sebenar Uzair. “Sebenarnya, keturunan saya mempunyai sejarah penyakit berlubang. Penyakit itu ada pada selang dua keturunan. Moyang saya dahulu ada penyakit ni,”ujar Ashraf tiba-tiba. Karina menangis teresak-esak mendengar berita itu. Alif dan doktor tersebut tidak mampu berbuat apa-apa.

*****

Alif membelok masuk ke dalam kawasan taman perumahan. Sebelah tangannya mengawal stereng manakala sebelah tangannya memegang telefon bimbit. Jarinya tidak lekang mendail nombor telefon bimbit Ashraf. Tiada satu pun panggilannya yang berjawab.

Alif membelok ke dalam satu selekoh lagi sebelum memberhentikan keretanya di hadapan rumah Ashraf. Sebaik sahaja dia keluar kereta, dia terkejut melihat pelbagai kotak terletak di luar rumah.

Alif membuka pintu pagar rumah itu. “Assalamualaikum,”panggil Alif. Kedengaran suara Ashraf menjawab salam. Ashraf terkejut melihat sahabatnya berada di luar rumah. “Eh, Alif, kau buat apa kat sini?”kotak yang dipegang Ashraf hampir terjatuh.

“Kau pulak buat apa? Kenapa kotak-kotak ni ada kat luar?”soal Alif.

Ashraf menelan liur melihat wajah Alif yang serius. “Erm, jemputlah masuk. Uzair ada kat dalam,”Ashraf terus berpusing. Alif mengekorinya. “Uzair!”Alif mendapatkan Uzair yang sedang berbaring di atas sofa sambil bermain-main dengan patung anak beruang kecil. Uzair tergelak kecil melihat Alif. Alif mendukungnya. Hendak lepas geram kerana sudah sebulan dia tidak berjumpa dengan Uzair.

Ashraf keluar dari dapur membawa segelas jus oren. “Maaflah, air lain tak ada. Jus oren saja ada,”ujar Ashraf sebelum berjalan cepat-cepat hendak melarikan diri. Langkahnya terhenti apabila Alif memanggilnya. “Ashraf, Karina mana?”

Alif berpaling lalu merenung Ashraf yang sudah muram mukanya. Alif merapati Ashraf dan terkejut apabila mendapati lelaki itu sedang menangis. “Eh, kenapa kau menangis tiba-tiba ni?”Alif panik.

“Apa yang kau cakap betul Alif. Orang macam Karina tu takkan pernah berubah. Sejak dia tahu penyakit Uzair datang daripada keluarga aku, dia berubah. Dia selalu balik lewat dalam keadaan mabuk. Seminggu lepas aku terserempak dengan dia kat hotel dengan lelaki lain. Dia salahkan aku, Alif. Dia kata dia tak nak ada hubungan dengan orang yang buat keluarganya merana. Aku dah ceraikan dia. Aku nak pindah dari rumah ni,”ujar Ashraf dalam keadaan teresak-esak.

Alif mengucap panjang. “Kenapa kau tak beritahu aku tentang semua ni? Kenapa kau kena pindah? Habis Uzair siapa nak jaga?”bertubi-tubi soalan ditujukan kepada Ashraf.

“Aku tak nak kau risau. Aku pindah sebab rumah ni aku beli atas nama dia. Hak penjagaan Uzair dia beri kat aku,”Ashraf menjawab soalan Alif satu persatu. Alif mengeluh berat. “Ashraf, aku kawan baik kau. Kalau kau kata kau tak beritahu aku sebab kau tak nak aku risau, benda yang sebaliknya yang akan berlaku,”ujar Alif. Ashraf hanya diam.

Alif memandang kotak-kotak yang bersusun itu. “Kau nak pindah mana ni?”tanya Alif. “Rumah ibu bapa aku. Abang ipar aku sudah hubungi lori angkut barang,”kata Ashraf. “Kau pindah rumah aku sajalah. Aku tinggal seorang. Lagipun, rumah aku besar,”ujar Alif.

Ashraf ingin membantah tetapi cepat-cepat Alif memotong. “Ini hukuman kau sebab buat aku risau. Waktu kita kerja, Uzair boleh tinggal rumah ibu bapa kau. Lagipun, jarak rumah ibu bapa kau dengan rumah aku tak jauh mana,”tambah Alif lagi.

Ashraf hanya mengangguk. “Nanti kau beritahu pemandu lori tu suruh hantar barang ni ke rumah aku. Kereta kau mana?”tanya Alif. Ashraf hanya menggeleng. Alif merengus. Dia pasti Karina mengambil kereta Ashraf kerana wanita itu tidak mempunyai kereta sejak berkahwin dengan Ashraf. “Kita balik naik kereta aku. Aku dah lama tak main dengan Uzair, kan sayang?”Uzair hanya terkebil-kebil melihat Alif mengagah-agahnya.

*****

“Ashraf, hari ini aku ada hal. Aku kena jumpa pembekal tepung. Jadi aku tak dapat nak jemput Uzair,”kata Alif. Ashraf yang sedang menyuap makanan ke dalam mulut Uzair membeliakkan mata.

“Aku pun tak boleh. Hari ini aku ada mesyuarat dengan ahli lembaga syarikat,”ujar Ashraf. “Tak boleh tunda mesyuarat tu? Aku terpaksa pergi hari ini sebab aku banyak kali tunda tarikh dengan pembekal itu,”kata Alif.

Ashraf mengeluh. “Masalahnya aku pun banyak kali tunda tarikh. Ahli lembaga sudah mengamuk,”kata Ashraf. Pada bulan itu, Uzair terpaksa dihantar ke pusat penjagaan kanak-kanak kerana tiada sesiapa yang boleh menjaganya pada waktu pagi.

“Habis macam mana ini?”soal Alif. Ashraf mengeluh berat. “Kita terpaksa tinggalkan Uzair sampai petanglah nampaknya,”kata Ashraf merujuk kepada pusat penjagaan kanak-kanak.

“Tapi masalahnya, tempat itu ada pengubahsuaian. Masa sudah dipendekkan hingga tengah hari,”ujar Alif. “Aku tak tahu apa nak buat,”Ashraf menghempaskan tangannya ke atas meja. Terkejut Uzair dibuatnya.

Alif tahu apa yang akan berlaku sekiranya Uzair terkejut segera mendukung kanak-kanak yang berusia setahun itu. Alif memandang Ashraf yang sudah menyembamkan mukanya ke atas meja.

“Bangun. Pergi kerja sekarang. Hari ini, aku bawa Uzair pergi kerja,”kata Alif. Ashraf terus mengangkat mukanya. Wajahnya bercahaya seperti selalu. “Betul?”tanya Ashraf. Alif mengangguk. “Ya, bijak. Lagipun, pekerja aku dekat bakeri mesti suka kalau dapat jumpa anak aku,”ujar Alif selamba.

“Uzair anak aku jugalah,”omel Ashraf tiba-tiba. “Jangan nak mengomel. Siapa suruh kau tak nak bertanggungjawab. Akhirnya, abah dia juga yang bertanggungjawab,”gurau Alif. Muncung Ashraf panjang sedepa.

Alif tidak ambil peduli. Dia terus ke ruang tamu untuk mengambil begnya sebelum berjalan keluar dari rumah. “Siapa lambat kunci pintu rumah!”laung Alif dari luar rumah. “Alif!”Ashraf segera mengejar Alif yang sedang ketawa seraya menghidupkan enjin kereta. Macam mana dia hendak ke tempat kerja kalau Alif pergi dahulu.

*****

“Ish, banyaknya barang yang kau beli,”tegur Alif apabila melihat barang dalam troli yang ditolak Ashraf. Ashraf hanya tersengih mendengar teguran Alif. Dia terus menolak troli itu ke ruang yang menempatkan barang lain.

“Sejak bila papa Uzair tu suka beli-belah?”soal Alif kepada Uzair yang berusia 2 tahun dalam dukungannya. Uzair hanya terkebil-kebil mendengar pertanyaan itu. Alif laju mengekori Ashraf.

“Kau nak buat kenduri ke?”soal Alif. “Boleh juga. Tapi kenduri tu kau yang jaga lah ea,”ujar Ashraf dengan senyuman manis. Dia laju meninggalkan Alif dan Uzair apabila melihat jualan murah.

“Kenapa kau beli banyak barang ni?”tanya Alif lagi. “Anggaplah semua ni sebagai tanda terima kasih,”jawab Ashraf. Alif terdiam mendengar jawapan Ashraf. “Tapi aku ikhlas tolong kau selama ni,”ujar Alif. “Dan aku tahu kau akan tolong aku dan Uzair lagi selepas ni. Tapi siapa tahu bila semua itu boleh dibalas,”ujar Ashraf yang berlalu terus ke kaunter pembayaran. Lidah Alif menjadi kelu.

Mereka bertiga terus ke tempat letak kereta setelah membuat pembayaran dan keluar dari pusat beli-belah itu. Uzair diletakkan di dalam kereta lalu Alif terus membantu Ashraf memasukkan barang-barang ke dalam but kereta. Ashraf pergi mendapatkan Uzair.

“Alamak, papa lupa nak belikan susu tepung Uzair. Papa pergi beli ya,”Ashraf kelihatan cemas sambil melihat jam tangannya. Seakan tergesa-gesa. Ashraf mendapatkan Alif yang berdiri di belakangnya. Tanpa amaran, Ashraf memeluk Alif. “Janji dengan aku yang kau akan jaga anak kita baik-baik Alif Nur Azwan,”ujar Ashraf. Alif hanya mngangguk dan membalas pelukan itu walaupun dia bingung.

Pelukan dileraikan. Ashraf memeluk dan mencium dahi serta kedua-dua belah pipi Uzair lama. “Papa pergi dulu ya Muhammad Nur Uzair,”ujar Ashraf. Ashraf berpaling ke arah Alif. “Tolong jaga Uzair baik-baik. Aku pergi dulu,”Ashraf terus berlari masuk ke dalam pusat beli-belah tersebut tetapi dia sempat melambai ke arah Alif dan Uzair.

Alif masih bingung tetapi dia menunggu Ashraf di dalam kereta. Tiba-tiba, BUM! Satu letupan besar meletupkan pusat beli-belah tersebut bersama-sama dengan segala isinya. Alif tergamam melihat kejadian itu. “ASHRAF!”

*****

“Assalamualaikum sahabat. Alif dan Uzair ada di sini,”kata Alif dalam nada gembira. Rona wajahnya tiba-tiba berubah. “Ashraf, dah lebih 2 tahun kau pergi. Uzair rindukan kau. Kami berdua rindukan kau. Semua orang rindukan kau. Kenapa kau kena pergi dulu?”air mata bergenang di tubir mata Alif. Tangan kanannya mengusap-usap tanah kubur manakala tangan kirinya mengusap-usap rambut Uzair. Kemudian, tangan kanannya mengambil kertas yang diletakkan di sisinya. “Ashraf, kau gembira tak? Uzair akhirnya dapat penderma jantung. Doktor kata lubang jantung dia terlampau besar jadi pembedahan pemindahan jantung mesti dibuat. Mesti kau gembira kan?”soal Alif seolah-olah Ashraf sedang duduk di hadapannya.

“Aku gembira sangat bila dengar berita tu. Tapi, aku tak pasti aku mampu hidup lama untuk tengok Uzair sihat selepas pembedahan tu,”kertas yang dibawanya digenggam sehingga renyuk. “Semalam, aku pergi ke hospital untuk ambil keputusan diagnosis yang aku buat minggu lepas. Rupa-rupanya, migrain yang aku selalu kena tu bukan migrain biasa. Aku disahkan kanser otak, tahap terakhir. Aku dah tak boleh buat apa-apa dah. Cuma tunggu masa je. Tapi aku harap aku dah tunaikan janji aku sebelum aku pergi. Uzair akan hidup macam kanak-kanak normal,”kata Alif.

“Ashraf, aku tak dapat hidup lama lagi dah. Aku harap sangat aku dapat tunaikan janji aku dengan kau. Jaga Uzair baik-baik. Aku dah dapatkan dia kehidupan yang lebih baik. Lepas ni dia akan tinggal dengan ibu bapa kau. Jadi Uzair akan membesar dengan kasih sayang. Sayangnya aku tak dapat beri kasih sayang tu dengan lebih lama. Aku harap sangat janji kita dah tertunai,”Alif memejan matanya untuk menahan air matanya daripada mengalir. Dia mendengar jeritan keluarga Ashraf, meminta supaya dia bangun.

Dalam kegelapan yang hanya disebabkan oleh lapisan kulit, Alif ternampak sekilas cahaya. Wajah yang amat dikenalinya perlahan-lahan muncul. Alif tersenyum sendiri.

Terima kasih, Alif.

Sama-sama, Ashraf.


*****



KEHILANGAN PADA PAGI SYAWAL
BANDAR JASIN, 28 JULAI – Semalam merupakan hari berbahagia untuk semua orang Islam setelah menunaikan ibadah puasa selama sebulan. Hari tersebut disambut dengan meriah, penuh dengan keceriaan dan warna-warni. Biarpun ada yang menyambut hari itu dengan kegembiraan, ada juga yang menyambut hari yang mulia ini dengan tangisan. Tiada sesiapa yang boleh menyangka bahawa pada pagi hari raya merupakan pagi dimana mereka menangisi pemergian saudara mereka. Pemilik sebuah bakeri yang terkenal di Bandar Jasin, Alif Nur Azwan bin Danial Ishak telah meninggalkan keluarga yang tercinta di tanah perkuburan kampung. Beliau ditemukan terbaring dalam keadaan yang tenang dan tersenyum di sebelah kubur sahabat baiknya oleh keluarga angkat beliau. Turut dijumpai bersama Alif Nur Azwan ialah anak kepada salah seorang mangsa letupan yang telah membunuh hampir seribu nyawa di sebuah pusat beli-belah terkemuka, Muhammad Nur Uzair bin Ahmad Ashraf Azwan. Punca kematian kedua-dua mereka dipercayai penyakit jantung berlubang bagi Uzair dan kanser otak bagi Alif berdasarkan surat diagnosis yang ditemui di dalam genggaman arwah Alif. Jenazah-jenazah telah dikebumikan bersebelahan dengan kubur mangsa nahas letupan, Ahmad Ashraf Azwan. Semoga roh arwah dicucuri rahmat Allah S.W.T.

Reason

Okay....
Sebenarnya masa awal-awal buat blog ni....memang tak tahulah segala apa kebendanya yang terkandung dalam blogger ni....

Tapi tu cerita lain...

Reason blog ini dicipta untuk memberi pembaca peluang membaca cerita yang ditulis saya...

Jadi, cerita-cerita yang akan dipostkan di sini mostly genre bromance.....kalau tak tahu bromance tu apa pergi google search...

Bila kata mostly tu, hampir-hampir semualah. Tak tahulah kalau ada cerita genre lain keluar dekat sini....

Tapi, ada amarannya....

Bromance dalam cerita-cerita ni amat rapat chemistry antara dua watak.....so, sesiapa yang open minded memang akan terima cerita itu sebagai bromance....kalau yang narrow-minded tu, jangan fikir bukan-bukan sudah lah ea? Hehe....