Wednesday 11 February 2015

Diari Si Kembar

Imbas kembali - 28.4.2002

          Sebuah kereta berjenama Proton Saga meluncur laju di sebatang jalan yang lengang. Suasana di dalam kereta itu amat riang sekali biarpun hanya ada dua saja orang di dalamnya. Si bapa menfokuskan pandangannya kepada jalan sambil mendengar celoteh anak bongsunya di sebelah. Si anak pula rajin bercerita tentang rakan-rakannya di tadika. Sesekali, si bapa berpaling ke arah anaknya dan mengangguk-angguk untuk menunjukkan bahawa dia mendengar cerita si anak.
         
          “Kita nak ke mana, ayah?” tanya Alif. Dia teringat sebentar tadi ayahnya datang ke tadika. Dia meminta izin guru hendak membawanya ke suatu tempat. Tetapi, nama tempat itu tidak didengarinya. Gurunya pula memberi kebenaran. Maka dia di sini, di dalam kereta menuju ke tempat yang tidak diketahuinya.
         
          Encik Aswad memandang anaknya. “Kita ke hospital. Hari ini kita ada perjumpaan dengan doktor,” jawab Encik Aswad. Doktor? Sebaik saja Alif mendengar perkataan itu, wajahnya berubah.
         
          “Alif tak nak jumpa doktor! Tak nak!”Alif tiba-tiba berteriak. Encik Aswad mengeluh. “Kenapa Alif tak nak jumpa doktor?”tanya Encik Aswad.
         
          Alif terus berteriak. “Alif tak nak jumpa doktor! Doktor jahat! Dia cucuk orang lain!”seperti anak kecil sebayanya, fikiran Alif dikelirukan dengan kata-kata kawan-kawannya. Encik Aswad ketawa kecil mendengar teriakan Alif. Dia fikir ada perkara lain yang mengganggu Alif. Rupa-rupanya hanya khayalan Alif sahaja.
         
          Alif menghentak-hentak kerusi kereta sambil berteriak menyuruh Encik Aswad menghantarnya ke tadika semula. Encik Aswad tidak ambil serius.
         
          Tiba-tiba, Alif mencabut tali pinggang keledarnya lalu cuba menolak-nolak tangan Encik Aswad. “Alif, jangan!” jerit Encik Aswad dalam keadaan terkejut. Dia tidak menyangka Alif akan berbuat begitu.
         
          “Tak nak. Ayah hantar Alif balik tadika!”teriak Alif, tanpa menyedari akibat perbuatannya itu. Encik Aswad cuba mengawal kenderaannya yang sudah terkeluar daripada laluan tetapi tindakan Alif yang ganas menyebabkan dia memusing stereng kereta secara tidak sengaja.
         
          Sekelip mata, Alif yang pada mulanya berteriak menyuruh ayahnya menghantar dia kembali ke tadika menjerit kesakitan akibat tekanan yang dirasakan pada badannya. Dalam sekelip mata juga, pandangan Alif menjadi gelap.

*****
         
          Alif terjaga daripada tidurnya ketika azan Subuh berkumandang dengan sayup-sayupnya. Dalam hatinya, dia mengucapkan rasa syukur kepada Yang Esa kerana memberinya peluang untuk bangun dan menikmati hari itu.
         
          Tangannya meraba-raba di bawah bantal, cuba mencari sesuatu. Apabila tangannya menggapai sesuatu yang berbentuk silinder dan sejuk, dia segera menarik benda itu keluar. Tongkat yang dikhaskan untuknya dipanjangkan.
         
          Alif perlahan-lahan menurunkan kakinya ke lantai papan yang melapisi rumah. Badannya perlahan-lahan diangkat dengan sokongan tongkatnya. Alif menghembus nafas perlahan apabila dia berjaya melawan hasutan syaitan untuk berbaring dan tidur semula. “Alhamdulillah,”bisik Alif.
         
          Seraya dia membuka langkah, tongkat itu dihayunkan ke kanan kiri sambil mengetuk lantai. Pintu bilik dibuka dan langkahnya diatur kemas. Biarpun dia berjalan dalam kegelapan yang tiada penghujung, dia tidak takut mahupun risau. Segera dia menuju ke bilik air dengan langkah yang berhati-hati.
         
          Pili air dibuka setelah tempatnya dikenalpasti. Alif mengambil wuduk. Ketika dia keluar dari bilik air, terdengar satu suara serak berkata kepadanya. “Alif sudah bangun. Berjemaah dengan atuk ya?”tegur Tok Man, datuk kepada Alif. Di belakang Tok Man merupakan neneknya yang digelar Opah Minah.
         
          Alif pasti orang tua itu berada di hadapannya. “Okey, atuk. Alif naik dulu,”ujar Alif sebelum berjalan menuju ke tangga yang membawa ke bahagian hadapan rumah.
   
          Sekembali Tok Man dan Opah Minah ke bilik solat, mereka melihat tikar sejadah sudah terhampar. Alif sudah mengambil tempatnya sebagai makmum maka sudah maklumlah bahawa Tok Man akan menjadi iman pada pagi itu.

*****
         
          Alif sedang duduk di atas kerusi rotan di hadapan televisyen lengkap berpakaian sekolah. Begnya berada di atas riba manakala tongkatnya setia di sisi kerusi. Suara pengacara rancangan pagi itu menembusi gegendang telinganya, impuls dihantar ke otak dan diproses.
         
          “Alif, mari makan nak,”panggil Opah Minah. Nenek tua itu meletakkan dulang yang dibawanya ke atas meja kopi. Pinggan berisi karipap, tiga biji cawan dan seteko the dikeluarkan dari dalam dulang dan diletakkan di atas meja. Alif sedikit tersentak akibat ditegur Opah Minah.
         
          Terkial-kial dia hendak bangkit dari kerusi. Tok Man yang baru saja keluar dari bilik segera berlari ke arah cucunya untuk membantu. “Eh, Tok Man ni. Alif okey. Tok Man tak payah nak lari sebab nak tolong Alif,”ujar Alif lembut. Dia mengenali siapa yang memegangnya kerana ada seorang saja yang sanggup berlari untuk membantunya.
         
          “Alah kamu ini Alif. Biarlah Tok Man manjakan kamu. Dia cuma risaukan kamu saja,”Opah minah menyampuk sebelum Tok Ma sempat menjawab.
         
          “Saya bukannya tak berdaya. Buta saja,”dengan selamba Alif menyebut perkataan itu. Bagi sesetengah orang, menyebut perkatan ‘buta’ di hadapan orang buta dianggap kurang sopan dan akan menyinggung perasaan orang itu. Tetapi, bagi Alif butanya itu dianggap sebagai satu luka kecil yang akan pulih dalam masa beberapa hari. Walhal, Alif telah buta selama 12 tahun!
         
          “Cara kamu cakap itu macam kamu luka kecil semasa main bola,”Tok Man menggeleng-geleng kepalanya melihat perangai cucunya yang sambalewa. Alif tidak pernah menganggap kecacatan yang dihadapinya sebagai satu alasan untuk mencacatkan kehidupannya. Alif merupakan seorang yang positif.
         
          Alif tidak menjawab keluhan Tok Man. Sudah pasti jika dibincangkan perkara ini, perkara ini akan dipanjangkan sehingga meleret-leret. Alif tidak larat hendak membincangkannya. Karipap buatan Opah Minah dicapainya. Seperti biasa, masakan Opah Minah akan dipujinya. Pujian yang datang terus dari hati. Bagi Alif, masakan Opah Minah seperti air tangan seorang ibu yang penyayang. Malangnya, Alif sudah lupa rasa air tangan seorang ibu. Alif sudah lupa kasih sayang diberikan oleh seorang ibu.
         
          Tok Man dan Opah Minah perasan akan perubahan Alif walaupun perubahan itu berlaku dalam hati serta mindanya. Pengalaman menjaga Alif selama 12 tahun lamanya telah membolehkan mereka untuk mengesan perubahan yang berlaku kepada Alif biarpun tidak boleh dilihat melalui mata kasar.
         
          “Memang sedap pun karipap opah kamu. Alif, bila kakak kamu hendak datang?”Tok Man menukar topik untuk menceriakan Alif semula.
         
          Alif mengigit hujung karipap itu. Muram wajahnya terus hilang apabila Tok Man menyebut tentang kakak Alif. Kakak Alif ialah satu-satunya kakak yang Alif ada. Alif tidak tahu akan paras rupa kakaknya sekarang tetapi dia bersyukur yang dia masih boleh mendengar suara kakaknya yang lembut dan merdu.
         
          Sedang Alif makan kuih yang menjadi alas perutnya, terdengar bunyi kereta berderum masuk ke dalam perkarangan rumah Tok Man. Segera dimasukkan karipap yang masih berada di tangannya ke dalam mulut lalu air the yang dituang Opah Minah diteguknya. Tidak tergambar kegembiraannya apabila mendengar bunyi deruman kereta. Mujurlah dia tidak tercekik ataupun tersedak.
         
          “Kakak!”Alif berteriak memanggil Asyiffa, kakak tunggalnya yang baru saja keluar dari dalam kereta. Asyiffa tersenyum melihat wajah adiknya yang gembira. Enjin kereta dibiarkan hidup kerana dia datang ke situ hanya untuk menjemput Alif dan menghantarnya ke sekolah.
         
          Alif menuruni tangga kayu dengan beg serta tongkatnya di dalam genggaman. 12 tahun berbuat sebegitu menyebabkan dia sudah biasa dengan tangga tersebut. Asyiffa segera mendapatkan adiknya lalu mengambil beg sekolah adiknya.
         
          “Kamu mahu sarapan dulu, Asyiffa?”tanya Opah Minah di muka pintu. Asyiffa menggeleng.
         
          “Tak apalah, opah. Saya sudah lambat ke kerja. Lagipun, saya mesti hantar Alif dan Ashraf ke sekolah,”kata Asyiffa. Opah Minah tidak bercerita panjang. Dia hanya mengangguk tanda faham. Begitu juga dengan Tok Man.
         
          Asyiffa menyalami datuk dan neneknya sebelum masuk ke dalam kereta. Alif juga berbuat begitu. Asyiffa dan Alif melambai datuk dan nenek mereka sebelum kereta itu dipandu keluar dari perkarangan rumah.
         
          Alif mengeluarkan sebungkus kecil karipap dari dalam poket seluarnya. Bungkusan itu dihulurkan ke tempat duduk di sebelah pemandu. Biarpun dia hanya mendengar suara Asyiffa, dia tahu ada seorang lagi di dalam kereta itu. “Ashraf, opah beri Ash karipap,”kata Alif.
         
          Ashraf yang sedari tadi duduk dengan senyap di hadapan mengeluh senyap. Dia sepatutnya lebih tahu bahawa Alif sangat cekap dalam mengesan dia berada di sini atau tidak. Tetapi, bungkusan yang dihulurkan Alif tidak disambutnya. Dia masih lagi diam.
         
          “Ashraf?”panggil Alif.
         
          Ashraf diam. Hanya apabila Asyiffa menjegilkan mata ke arahnya dengan pandangan yang sungguh mengancam, dia bersuara. Tetapi kata-katanya tidaklah begitu baik. “Aku tak nak. Aku tak suka karipap. Aku tak suka opah. Dan yang paling penting aku tak suka kau!”Ashraf mendengus geram.
         
          Alif tidak terasa dengan kata-kata Ashraf. Malah dia tersenyum. Dalam hatinya, dia mengucapkan syukur kembarnya hendak bercakap dengannya. “Makanlah. Opah sediakan untuk kau. Opah kata kau mungkin tak makan lagi,”ujar Alif. Bungkusan itu mencucuk lengan Ashraf.
         
          Dalam sekelip mata, bungkusan itu mendarat di atas lantai kereta. Mujurlah bungkusan itu sudah diikat. “Ashraf!”teriak Asyiffa dalam amarah. Ashraf tidak ambil peduli. Malah, dia menunjuk protes dengan cara bersilang tangan di dada dan memandang ke luar tingkap.
         
          Asyiffa menderam marah. Ingin saja dia memukul adiknya tetapi keinginan itu ditahan. Mungkin sehingga Alif sampai di sekolah. Asyiffa menekan minyak. Kenderaan itu meluncur laju di atas jalan.

*****

11.2.2014

Hari ini Ashraf bercakap denganku. Walaupun nadanya agak kasar, aku tetap bersyukur kerana Ashraf mahu mengeluarkan suaranya. Suaranya itu ibarat emas. Tidak boleh dikeluarkan sesuka hati.

Karipap yang dibungkus nenek telah aku berikan kepada kakak. Kakak kata dia akan paksa Ashraf makan karipap itu. Aku tak mahu kakak memaksa. Ashraf bukanlah seseorang yang suka dipaksa. Tiada sesiapa suka dipaksa. Aku tahu kakak berniat baik. Tetapi, biarlah Ashraf menerima karipap itu dengan hati yang terbuka.

Alif.

*****
         
          “Apa masalah kamu sebenarnya?”soal Asyiffa dengan perasaan marah. Sebaik saja kereta itu dipandu keluar dari sekolah Alif, Asyiffa melepaskan geramnya. Geram yang terkandung dalam hatinya memang tidak terkata. Tuhan saja yang tahu betapa sakit hatinya melihat Ashraf melayan Alif sebegitu.
         
          Ashraf diam. Dia tidak mahu menjawab soalan Asyiffa. Sepertimana dia selalu lakukan jika Asyiffa mengamuk. Asyiffa bukanlah seseorang yang mudah dirunding.
         
          “Ashraf, kakak tanya kamu. Jawablah!”Asyiffa sudah mula menyinga seperti singa betina hilang anak. Perangai Ashraf amat dibencinya. Sama seperti dia membenci perangai emaknya. Tidak patut Alif dilayan begitu ketika si adik yang cacat penglihatan hendak berbuat baik.
         
          “Saya tak suka. Puas hati?!”Ashraf melenting. Kakaknya seperti tiada topik lain. Setiap kali dia dimarahi, amarah itu datang daripada punca yang sama. Alif. Seperti budak buta itu tidak berbuat salah.
         
          “Tak suka?”Asyiffa terpempan mendengar alasan Ashraf. “Hei, Ashraf. Dia itu adik kamu. Adik kembar kamu. Macam mana kamu boleh tak suka dengan adik kamu sendiri? Apa salah yang dia dah buat?”soal Asyiffa.
         
          Ashraf memandang kakak sulungnya. “Akak nak dengar apa salah dia? Okey. Saya beritahu walaupun kakak dah tahu. Dia bunuh ayah. Dia yang sebabkan ayah kemalangan dan meninggal dunia. Tinggalkan kita semua macam ini. Dan kakak tanya saya apa salah dia? Kakak tak boleh fikirkah?”bidas Ashraf.
         
          “Kakak tak boleh fikir? Kamu nak salahkan kakak? Okey, kemalangan itu memang salah Alif. Kakak tak nafikan. Tapi bukan sepenuhnya salah Alif. Siapa yang suka menghasut Alif tentang doctor jahat. Siapa? Kamu bukan. Selepas ayah meninggal, kamu dan emak, sisihkan dia. Dia pula hadapi kecederaan serius masa itu. Emak pula hantar Alif ke rumah opah. Kamu pula lontarkan kata-kata kesat kepada dia. Kamu fikir dia tak terasa? Ashraf, pernah tak kamu dan emak fikir yang ajal ayah sudah sampai? Sudah tiba masanya dia kembali ke pangkuan Ilahi. Tak, Ashraf. Kamu tak pernah. Kamu dan emak terus-terusan menghukum dia. Dia cuma anak kecil masa itu. Dan dia kembar kamu Ashraf. Kamu sepatutnya merapatkan lagi hubungan kamu. Bukan menjauhkan!”bentak Asyiffa.
         
          Ashraf diam. Dia tahu dia tidak mampu membidas kata-kata kakaknya biarpun semuanya sudah diulang banyak kali. Hatinya langsung tidak mahu menerima kebenaran yang dinyatakan Asyiffa.
         
          “Jadilah matang sikit, Ashraf. Kamu tak akan tercedera pun,”kata-kata Asyiffa terngiang-ngiang dalam fikirannya.

*****

Imbas kembali – 10.5.2002
         
          Alif jatuh di atas tanah. Air mata berjurai-jurai jatuh menimpa pasir dan debu yang melapisi tanah. Badannya sakit-sakit akibat ditimpa sesuatu. Tangisannya tidak tertahan.
         
          “Kau anak tak guna!”nyaring suara seorang wanita menjerit. Biarpun wajah wanita itu tidak dapat dilihat, dia tahu dan kenal siapa itu. Wanita yang disangka menyayanginya sepenuh hati berbuat kasar kepadanya.
         
          “Mak, sakit,”rintih Alif perlahan, cuba mendapatkan belas kasihan wanita yang berdiri tegak di hadapannya. Wanita yang dipanggil emak itu bercekak pinggang, wajahnya memerah akibat terlampau marah dan sakit hati. Matanya menjegil kanak-kanak di hadapannya dengan pandangan benci.
         
          “Disebabkan kau, suami aku mati!”jerit wanita itu dengan amarah yang memuncak. Anak kecil itu menangis lagi.
         
          Puan Aisyah menampar pipi Alif, kuat. Bertambah lagi kuatnya tangisan. Tindakan itu diulang lagi. Berkali-kali tubuh Alif menjadi sasaran. Tangisan itu menarik perhatian orang ramai yang baru saja berjalan pulang dari tapak perkuburan. Mereka berkumpul di hadapan jalan masuk ke perkarangan rumah.
         
          “Tak payah menangis. Benci aku mendengarnya!”pekik Puan Aisyah. Tangisan anaknya langsung tidak diambil peduli. Orang ramai yang berkumpul dan berbisik-bisik antara satu sama lain pun tidak dikisahkan. Bukannya orang ramai itu menolong Alif. Mereka hanya melihat saja.
         
          “Berhenti!”pekik Puan Aisyah. Tanpa disangka oleh sesiapa, satu tendangan kuat ditujukan ke perut anak kecil itu. Terkejut mereka semua melihatnya kecuali Ashraf. Ashraf hanya melihat tanpa perasaan. Dia seperti tidak peduli kembarnya disakiti. 
         
          “Ashraf, tolong Alif!”rintih Alif dalam jeritan. 
Asyiffa yang tidak dapat menahan perasaannya terus berlari melepasi emaknya lalu memeluk tubuh kecil Alif. Adiknya dipeluk erat dan rapat ke badannya, seakan-akan badan Asyiffa ialah sebuah perisai.

          Setiap kali Puan Aisyah cuba memukul Alif, Asyiffa yang terkena. Berulang-ulang kali badannya digerakkan untuk melindungi Alif daripada serangan emaknya yang seperti sudah dirasuk syaitan.
         
          “Ke tepi, Asyiffa!”jerit Puan Aisyah. Puan Aisyah tidak mahu menyakiti Asyiffa. Amarahnya hanya tertumpu pada Alif saja. Alif penyebab suaminya mati!

          Asyiffa tidak mendengar kata-kata emaknya. Tubuh Alif dipeluk erat. Biarpun Puan Aisyah tidak mahu menyakiti anak perempuan tunggalnya, tangannya masih lagi mencari peluang untuk melepaskan perasaan tidak puas hatinya terhadap anaknya. Asyiffa pula bijak. Dia seperti tahu Puan Aisyah hendak memukul Alif dari arah mana.

          “Lepaskan dia!”lantang Puan Aisyah bersuara. Asyiffa menggeleng dalam kesakitan. Dia tidak rela melihat adiknya disakiti. Lebih-lebih lagi orang yang menyakitinya ialah emaknya sendiri!

          “Asyiffa cuma akan lepaskan Alif kalau mak berhenti pukul dia!”akhirnya, Asyiffa berani meluahkan suaranya. Meminta emaknya untuk berhenti memukul Alif. Dia tidak sangka emaknya sanggup berbuat begitu. Alif itu anaknya.

          Mendengar balasan Asyiffa, kemarahan Puan Aisyah bertambah. Bertubi-tubi tubuh anak-anaknya dibelasah. Kali ini dia tidak peduli siapa yang terkena. Puan Aisyah termengah-mengah. Asyiffa kelihatan seperti sudah lemah akibat pukulan bertubi-tubi yang diberikan oleh emaknya.

          Mata Puan Aisyah tiba-tiba terpandang sebatang kayu berdekatan. Dia benar-benar sudah dirasuk. Dia menyeringai. Segera kayu itu diambilnya lalu dihayun ke arah Alif yang sudah terkeluar dari pelukan Asyiffa yang longgar.

          “Aisyah!”seorang lelaki tua muncul dari dalam kerumun orang ramai dan menolak Puan Aisyah jatuh. Matanya terjegil memandang anaknya itu. Tok Man segera memberi arahan kepada orang ramai supaya menelefon polis dan ambulans.

          Opah Minah segera mendapatkan cucu-cucunya. Ashraf berdiri tegak di tengah halaman melihat emaknya dibawa pergi. Matanya kemudian beralih ke arah Alif yang terduduk di sebelah Opah Minah. Telinganya menangkap suara Alif yang agak perlahan. “Ashraf, Alif minta maaf.”

*****

          Ashraf terbangun dari tidurnya. “Alif!”lantang suaranya memanggil Alif. Seluruh kelas tertumpu kepadanya. Guru yang mengajar di hadapan menggeleng-gelengkan kepala.

          “Kamu ada apa-apa masalah, Ashraf?”soal gurunya. Ashraf kelihatan bingung seketika. Matanya melilau, memandang setiap wajah yang melihatnya. Dia cuba mencari wajah seseorang.
         
          “Raf!”rakan sebelah mejanya mencuit Ashraf, sekaligus menyedarkan Ashraf.

          “Ya?”tanya Ashraf bingung.

          Gurunya mengeluh. “Tiada apa-apa Ashraf. Tumpukan perhatian dalam kelas,”ujarnya sebelum berpusing menghadap papan putih. Pembelajaran disambung semula.

          Ashraf mengangguk kecil sebelum mengeluh. Dia dapat mimpi itu lagi. Mimpi yang sering menghantuinya sejak 15 tahun lalu. Pada mulanya dia menganggap itu mimpi biasa tetapi setelah mimpi itu berlarutan selama bertahun-tahun, dia mulai rasa takut.

*****

11.2.2014

Hari ini aku mimpi lagi. Aku tak faham. Kenapa aku selalu dapat mimpi yang sama?

Mimpi kali ini semakin menjadi-jadi sehingga aku dapat mimpi itu ketika tertidur di dalam kelas. Pada mulanya memanglah aku tidak takut. Tetapi, semakin lama, kata-kata terakhir Alif dalam mimpi itu membuatkan aku takut.

Aku tak dapat terangkan rasa takut itu. Yang pasti, aku takut.

Ashraf

*****

          Alif meraba-raba kerusi batu di atasnya sebelum dia duduk. Asyiffa mengambil tempat di hadapan Alif. Bekal yang dibawanya diletakkan di atas meja.

          “Alif makan ya. Hari ini kakak tak masak. Bekal ini nenek yang suruh beri kepada Alif,”ujar Asyiffa. Tangannya lincah membuka bekas yang berisi nasi serta lauk kegemaran Alif serta membuka peenutup botol air. Air dituang ke dalam cawan.

          Bekas dan cawan itu diletakkan di hadapan Alif. Alif membaca doa makan sebelum makan. Asyiffa tersenyum melihat Alif. Pernah suatu ketika dia hendak menyuap Alif kerana kecacatan Alif dianggap sebagai satu kesusahan untuk Alif. Tetapi Alif berdegil mahu makan dengan sendirinya.

          “Kakak,”Asyiffa tersedar dari lamunannya apabila mendengar suara Alif memanggilnya. Asyiffa memandang Alif. “Kakak bencikan Alif?”soal Alif tiba-tiba. Mendengar soalan itu, Asyiffa terus panik. Kenapa Alif tiba-tiba bertanya soalan begitu?

          “Kakak tak bencikan Alif. Kakak sayangkan Alif. Kenapa Alif tanya?”soal Asyiffa, cuba mendapatkan kepastian daripada Alif.

          Alif tidak menjawab. Sebaliknya, dia bertanya lagi. “Kakak sayang Ashraf dan mak?”soalan itu membuatkan Asyiffa terus terdiam. Mindanya hendak mengatakan bahawa dia masih sayang akan kedua-duanya tetapi hatinya berkata tidak.

          Soalan itu dibiarkan tidak berjawab. Sebelum Alif kembali ke kelasnya, dia memberi Asyiffa sebuah buku berkulit hitam. Alif meminta diri meninggalkan Asyiffa yang kebingungan.

*****

          Ashraf merebahkan badannya ke atas katil. Beg sekolah sudah dilempar jauh awal-awal lagi. Dia menoleh ke sebelahnya. Sebuah buku berkulit hitam berada berdekatan dengan mukanya.

          Buku itu diberikan kepadanya ketika dia pulang dari sekolah sebentar tadi. Wajah Asyiffa kelihatan suram apabila dia menyerahkan buku itu kepadanya.

          Ashraf mencapai buku itu lalu menyelak halaman pertama. Terkedu dirinya apabila mendapati buku tersebut milik adik kembarnya, Alif. Ashraf menyelak halaman seterusnya.

22.3.2007

Assalamualaikum, diari.

Inilah kali pertama aku menulis diari sendiri. Diari ini aku tulis sendiri tanpa bantuan orang lain. Okey, aku ada minta tolong guru di sekolah untuk periksa diari ini.

Setelah 5 tahun, barulah aku tahu apa yang sudah terjadi kepada diriku. Aku buta. Cacat penglihatan.

Alif.

16.4.2007

Aku dilawati oleh kakak Asyiffa hari ini. Dia membawakan aku pelbagai barang. Dia ada juga membeli buku untuk aku. Aku mengingatkan dia bahawa aku tak boleh membaca.

Kakak Asyiffa kata dia yang akan membacakan buku-buku ini kepada Alif sekiranya dia ada waktu lapang pada waktu malam.

Aku rasa gembira sangat. 5 tahun tidak membaca buku menyebabkan aku samar-samar tentang benda itu. Mujurlah deria rasa aku masih berfungsi.

Alif.

20.4.2007

Hari ini hari pertama kak Asyiffa membacakan aku buku. Aku sangat gembira. Intonasi kak Asyiffa sangat berkesan dan menjadikan cerita itu realistik. Cerita yang dibacanya berkenaan hubungan adik beradik.

Mendengar saja tema cerita itu, aku teringatkan Ashraf. Sudah lama abang kembarku tidak datang menjengukku. Dalam masa lima tahun, cuma beberapa kali saja dia menjengukku. Aku sedih.

Alif.

26.6.2007

Hari ini, aku tidak berapa sihat. Tetapi aku gagahkan diriku menulisnya.

Aku dengar daripada atuk dan opah. Mereka mengatakan bahawa Ashraf ada datang ke rumah ini. Walau bagaimanapun, dia tidak menjengukku di dalam bilik. Ashraf hanya duduk di ruang tamu saja.

Adakah dia masih membenciku?

Adakah dia masih menyalahkan aku tentang kematian ayah?

Aku ingin tahu. Isi hatinya tak dapat aku baca walaupun aku kembarnya.

Alif.

          Ashraf terkedu membaca beberapa entri lima tahun lepas. Walaupun entri-entri tersebut pendek-pendek saja, maksudnya sangat mendalam. Ashraf kembali membaca entri yang ditulis oleh adiknya. Baru dia sedar yang Alif mempunyai tulisan yang sangat kemas biarpun mempunyai kecacatan penglihatan.

23.5.2013

Aku memakan masa lebih dari 8 tahun hendak memahami apa yang sudah terjadi padaku. Aku telah menerima hakikat yang abang kembarku serta emakku membenci aku. Aku telah membunuh ayah.

Tetapi aku tidak berasa sedih. Aku terima semuanya. Memang salah aku ayah mati. Aku ketika itu terlampau percaya dengan kata-kata orang sehingga nyawa ayahku diragut manakala salah satu pancaindera yang dianugerahkan kepada aku oleh Allah telah diambil semula.

Cuma, aku harap aku sempat minta maaf dengan Ashraf dan emak sebelum segalanya sudah terlewat.

Alif.

          Ashraf terkedu lagi membaca ayat terakhir Alif.  Perasaan yang tidak dapat dijelaskan menikam hatinya. Entah kenapa, dia merasakan akan ada sesuatu yang buruk akan berlaku pada adik kembarnya.

*****

          Asyiffa mengekori seorang lelaki berpakaian serba putih melalui sebuah laluan di dalam bangunan tersebut. Masing-masing diam ketika melepasi orang-orang yang berkeliaran di tempat itu.

          Setelah beberapa ketika berjalan, mereka akhirnya berhenti di hadapan sebuah bilik. Lelaki itu menekan butang yang berada di sebelah pintu bilik. “Cik sudah letak semua barang larangan di kaunter?”soal lelaki itu. Asyiffa mengangguk.

          Asyiffa melangkah masuk ke dalam bilik itu sebaik saja pintu dibuka. Pintu itu kemudiannya ditutup semula.

          Seorang wanita sedang duduk meringkuk di atas katil. Rambut wanita itu serabai, kuku jarinya tidak diurus, baju yang dipakainya tidak dibutang dengan betul dan rupanya yang tak terima seorang manusia.

          Asyiffa merapati wanita itu. “Mak,”panggil Asyiffa lembut. Puan Aisyah yang tadi berteleku terus mendongak ke arah Asyiffa. Satu senyuman diberikan. “Syiffa, Syiffa pergi mana? Puas mama tunggu seorang diri,”ujar Puan Aisyah seperti anak kecil.

          “Syiffa tak ke mana, mak. Syiffa baru habis kerja,”ujar Asyiifa lembut. Puan Aisyah memegang tangan Asyiffa lalu bermain-main dengan jari gadis itu.

          Mata Puan Aisyah pula memandang Asyiffa. “Syiffa, Syiffa bawa mak balik. Mak bosanlah ada dekat sini,”pinta Puan Aisyah.

          Asyiffa menggeleng-geleng. “Tak boleh mak,”balas Asyiffa. Puan Aisyah memuncungkan bibirnya.

          “Tolong mak, Asyiffa. Mak nak jumpa ayah Syiffa. Dia tengah tunggu mak,”rungut Puan Aisyah. Asyiffa tersenyum kelat. Bagaimana hendak ke menerangkan tentang bapanya.

          Asyiffa mengusap-usap tangan Puan Aisyah. “Mak, ayah sudah meninggal!”kata Asyiffa sedikit terus terang. Ekspresi wajah Puan Aiyah terus berubah.

          “Itu semua sebab budak itu. Kalau dia tidak ganggu ayah kamu memandu, semua ini takkan jadi!”pekik Puan Aisyah tinggi. Puan Aisyah mula bertindak gila. Asyiffa bangun lalu menekan butang yang terdapat di sebelah pintu.

          Puan Aisyah mula hilang kawalan. Dia memekik lantang sehinga boleh didengar di luar bilik. Asyiffa segera keluar dari dalam bilik apabila pegawai yang dihubunginya sampai.

*****

          Alif duduk di atas katil biliknya. Dia cuba memastikan pakaiannya kemas biarpun dia tidak boleh melihat. Kepalanya masih lagi terasa denyut akibat sesuatu. Seperti ada seseorang menekan kepalanya.

          Hari ini ialah hari jadinya. Begitu juga, hari jadi Ashraf. Tok Man dan Opah Minah telah menjemput orang ramai ke rumah mereka untuk majlis makan-makan. Mereka kata penduduk kampung akan menceriakan majlis.

          Pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Asyiffa di muka pintu. “Alif sudah siap?”soal Asyiffa. Alif mengangguk seraya bangkit dari tempat duduknya.

          Asyiffa memandu Alif keluar walaupun remaja itu mampu keluar sendiri. Riuh-rendah suasana di ruang tamu kerana penduduk kampung yang ramai. Asyiffa mendudukkan Alif di kerusi rotan sebelum beredar untuk mencari minuman.

          Alif hanya duduk diam. Dia tidak biasa dengan orang ramai di sekelilingnya. Walaupun di sekolahnya, dia lebih banyak menyendiri daripada berkumpul dalam kumpulan.

          Tiba-tiba Alif merasakan tempat duduk di sebelahnya telah diambil orang. Alif kenal akan minyak wangi yang dipakai orang itu. “Meriah bukan?”soal satu suara yang sudah 10 tahun tidak bercakap dalam nada yang sopan.

          ‘Ashraf!’detik hati Alif. Dia menjadi pelik. Bukankah Ashraf tidak mahu bercakap dengannya?

          “Alif sudah makan?”soal Ashraf lembut. Alif tidak menjawab. Sebaliknya, air mata yang selama ini ditahan sudah jelas kelihatan di tubir mata.

          Ashraf yang melihat air mata itu mula panik. “Alif tak apa-apa? Alif cederakah?”tanya Ashraf bertubi-tubi. Alif terus menggeleng-geleng apabila dia mendapati dia telah membuatkan Ashraf risau.

          “Alif rasa gembira sangat,”kata Alif. Ashraf terdiam. Dia tahu maksud Alif. Selama ini dia tidak pernah cuba mencipta perbualan antara mereka berdua.

          Alif memegang lengan Ashraf. “Terima kasih, Ashraf,”ujar Alif. Ashraf terus memeluk adik kembarnya. Sudah lama dia tidak berbuat begitu.

          “Shh, tak perlu ucap terima kasih. Sepatutnya Ashraf yang ucap terima kasih dekat Alif,”ujar Ashraf. Sungguhlah dia rindu akan adik kembarnya.

          Tiba-tiba Asyiffa memanggilnya. “Alif tunggu dekat sini. Ashraf ada kerja sekejap,”ujar Ashraf sebelum dia meninggalkan Alif. Hantinya berasa berat hendak meninggalkan kembarnya sendirian.

          Asyiffa menyuruh Ashraf pergi ke kedai kerana ada bahan untuk majlis ini yang sudah habis. Ashraf menuruti arahan kakaknya.

          Alif berasa gembira sangat. Ashraf akhirnya sudah berbaik dengannya. Rasanya tiada apa yang perlu ditahan lagi. Alif bangkit dari tempat duduknya.

          Dia cuba mencari kakaknya dari kerumunan orang ramai. “Kakak!”panggil Alif kuat.

          Langkah Alif tiba-tiba menjadi berat. Denyutan di kepalanya kembali semula. Kali ini lebih menyakitkan. Tanpa sebarang amaran, Alif rebah. Bunyi tubuhnya menghempas lantai menarik perhatian semua orang.

          “MasyaAllah, Alif!”Tok Man dan Opah Minah segera mendapatkan cucunya. Asyiffa terus meninggalkan apa yang dilakukannya apabila mendengar jeritan datuk dan neneknya.

          Terbuntang mata gadis itu apabila melihat Alif terbaring lemah di atas pangkuan Tok Man. “Alif!”Asyiffa melutut di sebelah Alif sambil cuba menyedarkan adiknya. Pipi Alif ditampar lembut berulang-ulang kali.
         
          “Telefon ambulans!”pekik Asyiffa. Dada Alif tiba-tiba berombak kencang. Nafasnya tidak teratur.

          “Kakak,”panggil Alif perlahan. Asyiffa mendekatkan telinganya. “Alif sayang kakak sangat-sangat,”katanya dengan dalam keadaan tercungap-cungap.

          Asyiffa memeluk tubuh Alif. Air matanya sudah mengalir keluar. “Ashraf!”jerit Asyiffa, cuba memanggil adiknya yang seorang lagi.

          Ashraf berlari sepantas yang mungkin. Hatinya berdebar-debar. Dia berasakan ada sesuatu yang buruk berlaku di rumah. Sampai saja di rumah, Ashraf meredah kerumunan orang ramai untuk naik ke ruang tamu.

          Ashraf pegun melihat Alif sudah terbaring di hadapannya. “Ashraf,”Alif memandang Ashraf lemah. “Alif minta maaf,”kata Alif perlahan.

          Ashraf jatuh melutut. Ketakutannya selama ini telah menjadi kenyataan.

*****

26.6.2014

Alif akhirnya kembali ke pangkuan Ilahi. Barulah aku tahu, tiga tahun lepas Alif telah dilanggar oleh sebuah motosikal. Biarpun tidak teruk kecederaanya, dia mempunyai darah beku di kepala.

Dia menunggu sehingga saat akhirnya untuk meminta maaf kepadaku. Dan aku maafkan dia. Sungguhpun coretanku ini pendek sekali, aku ingin mengatakan sesuatu.

Alif, Ashraf minta maaf.

Ashraf.

TAMAT


*Jadi, ini post cerita yang kedua. Sesiapa yang rasa cerita ni menarik, minta commentlah ya. Oh ya, kalau sesiapa pernah terbaca cerita Terima Kasih Alif dekat penulisan2u, penulisnya orang yang sama yep. Iaitu tuan punya blog ni. Cuma dalam blog ni, dah elaborate sikit. So, tiada plagiat yang berlaku.

Selamat Membaca!

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum...
    Finally.. Ad cerpen br..hihihi
    Mcm biase ..air mate meleleh time bace cter nie...hahahah
    Ermmm...sedihnye..btw..gud jobbb..always support kamu..trus kan usaha...kamu ad bakat yg orng lain jarang ad...hihihi
    #cecepat update cerpan br..lalalalal

    ReplyDelete